Tuesday, February 13, 2007

LATARBELAKANG PERSATUAN


Malaysian Post-Graduate Student Association In Ireland (MyPSI)
(Persatuan Pelajar-pelajar Pasca Siswazah Malaysia Ireland)


Latarbelakang

Menyedari peri-pentingnya satu wadah berbentuk persatuan bagi menjalinkan hubungan dan kerjasama di kalangan ahli-ahli dalam aspek akademik, kebajikan dan hal-hal yang berkaitan dalam kehidupan seharian, maka satu inisiatif telah diusahakan untuk menubuhkan persatuan ini. Nama penuh Persatuan ini ialah Persatuan Pelajar-Pelajar Pasca Siswazah Malaysia Ireland (Malaysian Post-Graduate Student Association Ireland) atau dikenali sebagai MyPSI. Persatuan ini telah ditubuhkan pada 25 Februari 2006 bertempat di Malaysian Hall, Dublin, Rep. of Ireland.

Status Pendaftaran

Persatuan ini akan didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Penuntut Malaysia (Malaysian Student Department (MSD) UK and Ireland). Permohonan bagi pendaftaran rasmi persatuan ini sedang dalam proses perlaksanaan.

Falsafah Rujukan

Memupuk semangat dan suasana “kekitaan, persaudaraan, kesukarelaan dan bantu membantu” dalam menjalankan segala aktiviti demi untuk kebaikan dan kemudahan ahli-ahli.

Matlamat Penubuhan

Matlamat utama penubuhan persatuan ini adalah untuk memupuk semangat kerjasama serta memperkuatkan tali persaudaraan di antara ahli-ahli persatuan bagi tujuan perpaduan di kalangan persatuan-persatuan yang lain di Ireland. Beberapa objektif telah dirangka ke arah mencapai matlamat tersebut, antaranya adalah seperti berikut:
  1. Berperanan sebagai platform untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama di kalangan semua ahli dalam aspek akademik, kebajikan dan hal-hal yang berkaitan di dalam kehidupan seharian sepanjang berada di Ireland;
  2. Menyelaras dan menghulur khidmat nasihat serta bantuan, terutama kepada pelajar pasca siswazah yang baru tiba di Ireland untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
  3. Menjadi pusat sumber maklumat dan rujukan untuk dikongsi bersama yang berkaitan dengan keperluan ahli dan juga keluarga.
  4. Menjalinkan hubungan dengan seluruh masyarakat khususnya dengan pihak berkuasa, komuniti dan persatuan-persatuan Malaysia di Ireland, dan masyarakat luar umumnya.
  5. Menganjurkan majlis pertemuan/ perbincangan di kalangan ahli dari masa ke semasa serta menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian secara kolektif seperti hari keluarga, program keagamaan, program sukan, program anak-anak, ekspedisi dan sebagainya.

    Keahlian

    Pendaftaran sebagai ahli adalah terbuka kepada pelajar-pelajar pasca siswazah (pengajian peringkat Master / Ph.D. / post-Ph.D.) dan pasangan, warganegara Malaysia yang berada di Ireland.
    Nota: a. Keahlian dengan sendirinya akan terlucut sekiranya ahli telah menamatkan pengajian atau tidak lagi berada di Ireland. b. Semua ahli boleh menyertai "ALUMNI MyPSI" selepas menamatkan pengajian di Ireland.

    Yuran Keahlian

    Yuran pendaftaran sebagai ahli adalah sebanyak Euro 10.00 setahun sahaja.

No comments: